Monday, February 18, 2008

JANJI OH JANJI

Baru-baru ini kecoh negara kita apabila Presiden Pas, YB Dato` Seri Tuan Guru Hj Abdul Hadi Awang mengumumkan secara ringkas berkenaan dengan manifesto Barisan Alternatif untuk pilihanraya umum ke-12. Penurunan harga petrol, pendidikan dan kesihatan percuma; sungguh tidak diduga, kita dapat melihat gelagat para menteri termasuk Timbalan Perdana Menteri Dato` Seri Najib Razak melatah dan dengan tidak segan silu mengeluarkan bermacam-macam kenyataan, walaupun manifesto tersebut tidak lagi diumumkan secara rasmi. Ada yang menganggap ianya sebagai kuno, tidak masuk akal dan sebagainya.

Begitulah yang kita dapat lihat, pada saya orang yang sudah biasa dengan korupsi, salah guna kuasa dan penyelewengan pasti melatah dengan tawaran yang berlawanan dengan sunah hidup mereka. Ada juga kenyataan yang mengatakan pemimpin Pas hanya pandai bercakap kosong, berjanji bagai nak rak tetapi gagal melaksanakannya. Tidak cukup dengan kenyataan tersebut, datang pula bukti yang dibawa dari Terengganu, mengatakan bahawa Pas gagal menyelesaikan masalah rakyat apatah lagi melunaskan janji yang dibuat. Sedarkah pemimpin UMNO? Bagaimana dengan royalti petrolium yang sememangnya menjadi hak milik rakyat Terengganu? Amat tidak masuk akal apabila kerajaan pusat menyekat royati kepada kerajaan negeri Terengganu dan dalam masa yang sama menyoal apakah yang dibangunkan di negeri tersebut semasa pemerintahan Pas. Saya lebih suka untuk mengkiaskan situasi ini dengan kisah beruk dan tuannya. Apabila beruk disuruh untuk memetik buah kelapa, tetapi tuannya tidak melepaskan tali yang mengikat beruk itu pada tiang. Adakah beruk yang tiada akal atau tuannya yang bodoh? Tidak perlulah seorang menteri menjawab persoalan ini, cukuplah seorang kampung yang tidak berpelajaran menjawabnya.

Saya ingin memfokuskan bagaimana pemimpin pusat menuduh pemimpin pembangkang yang seolah-olah sudah pasti tidak mampu melunaskan janji yang dibuat. Saya mencadangkan kepada Pak Lah supaya menggunakan kaedah try and erro. Lihat dahulu sejauh mana benar kata-kata mereka dengan memberi mandat kepada pembangkang memimpin negara Malaysia dan rakyat terbanyak. Barulah terpampang di depan mata bagaimana rakyat dapat menikmati penurunan harga minyak, pendidikan dan kesihatan percuma. Barulah Najib akan celik matanya sebelum mengeluarkan kenyataan bahawa negara akan bankrap jika BA mendapat mandat rakyat.

Jika UMNO sudah mengisytiharkan pasti pembangkang tidak mampu menunaikan manifestonya, saya ingin mengajak pembaca menilai sejauh mana UMNO dapat menzahirkan buah mulutnya. Seperti kita sedia maklum, dalam pembentangan Belanjawan 2008, Perdana Menteri YAB Dato` Seri Abdullah Badawi dengan bangganya mengumumkan pendidikan percuma mulai tahun 2008 kepada rakyat seluruhnya. Bertambah naiklah saham Menteri Pelajaran kita, terkenalah keris hunusannya dengan pengisytiharan tersebut. Bersoraklah rakyat-rakyat Malaysia. Betapa bangganya Menteri Pelajaran sehinggakan beliau mengumumkan bahawa pendidikan di Malaysia adalah percuma dalam persidangan PBB baru-baru ini, sambil mengharapkan pemimpin negara lain tunduk kepada Malaysia kononnya pemimpin kita bertaraf dunia dan mampu memerintah dengan cemerlang.

Inilah buktinya pemimpin UMNO pasti menunaikan janji-janji mereka apabila ibu bapa terpaksa mengeluarkan RM 60 hingga Rm 120 semasa pendaftaran awal tahun 2008 baru-baru ini. Nah, inilah dia satu lagi projek Barisan Nasional yakni membohongi rakyat. Habis sumpah seranah yang dikeluarkan dari mulut ibu bapa tertumpu kepada Menteri Pelajaran. Pembaca boleh merujuk jadual di bawah secara terperinci berkenaan yuran yang terpaksa dibayar:

Kononnya UMNO mengotakan janjinya, inilah dia pendidikan percuma yang ditawarkan oleh UMNO kepada rakyatnya yang sekian lama ditindas oleh penyelengan, pembolotan harta rakyat miskin dan banyak lagi corruption yang tidak diberitakan. Rupa-rupanya hanya percuma RM 4.50, yang lebihnya free tetapi wajib dibayar. Sekali lagi kita diperbodohkan oleh menteri. Saya ingin mencadangkan kepada Menteri Pelajaran Malaysia lebih relevan jika pelajar di beri makanan percuma setiap hari berbanding pecuma RM 4.50 setahun. Bagi orang Kelantan dan Terengganu, mungkin sebanyak itu orang kampung boleh makan mewah; nasi beriani dan air teh ‘O’ ais. Bagi warga Kualam Lumpur cukup nasi dan telur mata kerbau. Inilah dia kebajikan yang ditawarkan oleh UMNO kepada rakyatnya. Tidak dengan rompakan wang dan saham rakyat, disajikan pula dengan pendidikan ‘percuma’ versi UMNO. Saya tidak nampak di mana percumanya pendidikan yang diuar-uarkan oleh UMNO dalam pembentangan Belanjawan 2008.

Betapa bercelarunya Menteri Pelajaran sehingga boleh pula mengeluarkan kenyataan bahawa ibu bapa boleh menuntut semula wang yang telah dibayar. Pihak sekolah pula menunggu pekeliling hitam putih untuk membolehkan ibu bapa menuntut semula wang tersebut. Semakin peninglah kepala menteri kita. Mungkin sampai masanya menteri-menteri yang sudah ‘menguap’ ditukar kepada pemimpin-pemimpin yang lebih fresh dari pihak Barisan Alternatif.

Marilah kita sama-sama renungkan, siapakah sebenarnya yang tidak mampu untuk menunaikan janji masing-masing. Saya ingin mengajak para menteri termasuk Timbalan Perdana Menteri membuat lawatan sambil belajar ke negeri Cik Siti Wan Kembang. Lihatlah bagaimana negeri berkebajikan sedang dilaksanakan di bawah rahmat Allah SWT, dipimpin oleh kepimpinan ulama YAB Tuan Guru Dato` Hj Nik Abdul Aziz Nik Mat. Lihatlah bagaimana masyarakat Melayu, Cina, india mahupun Siam sedang menikmati kemakmuran. Belajarlah bagaimana kerajaan negeri menyelesaikan masalah rakyat terbanyak melalui program-program berkebajikan seperti Skim Takaful Kifaalah, Skim Ladang Rakyat dan sebagainya. Tahniah Tok Guru!